Wednesday, April 2, 2014

394. Mengingatkan yang Terlupa, Menyedarkan yang Terleka

1. Sebulan sekali kemaskini blog sudah menjadi rutin bulanan. Apa yang menarik untuk diceritakan kali ini? Penceritaan lebih terarah kepada aplikasi mudah alih kerana itu menjadi hobi saya mengemaskini aplikasi Zairopray.

2. Saban hari berlalu dan terlalu banyak aplikasi di pasaran. Jika beberapa tahun lalu sudah ada aplikasi waktu solat yang boleh dimuatturun data setahun sekali mungkin tidak akan wujud Zairopray kerana saya bukan jenis yang suka membuat aplikasi yang sama fungsinya di pasaran. Aplikasi baru yang dibuat perlu jika ada modul baru yang penting dan tiada dalam semua aplikasi sedia ada di pasaran. Kata kunci penting di sini adalah Don't reinvent the wheel.

3. Banyak yang saya belajar semasa membangunkan Zairopray. Ibadah-ibadah wajib sememangnya mesti dibuat. Ibadah-ibadah sunat jika dibuat secara konsisten itu yang terbaik. Hidup ini perlulah memperbanyakkan ibadah kerana kita tidak tahu adakah banyaknya amalan baik atau amalan buruk yang sudah kita lakukan. Ibadah tidak terhad kepada solat semata-mata malahan merangkumi seluruh aspek kehidupan.

4. Amalan yang mula-mula disoal di alam barzakh ialah solat. Selain solat, puasa juga merupakan salah satu daripada rukun Islam yang boleh didapati di dalam Zairopray berupa hari yang wajib, sunat dan haram berpuasa.

5. Selain itu zakat juga merupakan perkara wajib yang perlu dibuat oleh orang yang bekerja. Ada yang beranggapan zakat fitrah itu adalah zakat yang wajib akan tetapi zakat pendapatan juga adalah wajib yang mungkin ada yang tidak sedar.

6. Bukanlah diri ini ingin mengajar pula di blog ini akan tetapi mengingatkan diri ini juga tentang perkara-perkara tersebut. Semoga kita semua di bawah lindungan rahmatNya. Sentiasa bersangka baik dengan manusia dan Allah. Allah tidak membebankan hambaNya kecuali apa yang termampu dipikul oleh hambaNya.

#zairo