Saturday, March 30, 2013

373. Magic Show

1. Saya suka menghargai kejayaan-kejayaan kecil kerana dengan himpunan kejayaan kecil ini maka terhasilnya kejayaan besar. Sejak mula mempelajari PHP, ada saja cara menghargai kejayaan-kejayaan kecil seperti menjerit, gelak ketawa dan sebagainya. Paling penting adalah bersyukur kerana tanpa ilham dariNya tiadalah daya upaya kita.

2. Hampir 9 tahun saya membuat pengaturcaraan dalam PHP. Masih banyak yang saya perlu pelajari. CSS dan JavaScript misalnya adalah rakan penting kepada PHP kerana PHP semata-mata tidaklah menghasilkan antara muka yang bijaksana.

3. Saya tidak suka menyiapkan kerja di saat-saat akhir. Kononnya lambat lagi due date maka bolehlah bersenang lenang. Saya suka menyiapkan kerja dengan cepat kerana ia akan memberikan kita banyak masa untuk menyiapkan tugasan lain, membuat experimen dan mengilap hasil kerja agar menjadi hasil yang lebih baik.

4. Tadi baru sahaja menyiapkan satu tugasan yang agak sukar kerana maklumat yang diperlukan melibatkan pihak ketiga. Bila ianya siap nampak seperti tiada apa-apa yang istimewa pun kerana ianya adalah benda biasa pun akan tetapi bagi yang membuatnya ianya seperti satu pertunjukan magis yang sangat sukar dibuat.

5. Mereka yang berada di belakang pentas tidak memerlukan penghargaan pun cuma cukup mengembirakan apabila dapat membuat para hadirin kegirangan dan bertepuk tangan menonton pertunjukan tersebut.

6. Berada di belakang pentas untuk hampir sedekad merupakan pengalaman yang istimewa. Banyak pertunjukkan telah dijalankan dan banyak pengalaman yang diperolehi sama ada pahit dan manis.

7. Pengalaman pahit menjadi pengajaran untuk lebih berhati-hati dan berfikir secara rasional dan pengalaman manis menjadi dorongan untuk terus mencipta kejayaan yang lebih manis di masa depan.

8. Penceritaan kali ini adalah metafora. Sengaja diadakan begitu untuk mewujudkan suasana yang berlainan seketika.

9. Hidup ini hanyalah persinggahan sementara di bawah sebatang pohon yang rendang. Kadang-kadang kita terlena dibuai mimpi yang indah dan kadang-kadang bila terhantuk baru mengadah.

10. Hormati semua orang walau pun berbeza pandangan dan keutamaan. Hidup ini bukanlah untuk mengatasi orang lain akan tetapi adalah untuk mengatasi diri kita sendiri. Untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini.

#zairo