Friday, August 5, 2016

430. Sinar Pasti Bererti

1. Mulanya Jawi Kufi. Kemudian Kalkulator Asas. Selepas itu, Kufi Editor. Terbaru Quran Bookmark.

2. Semuanya disiapkan dalam tahun ini untuk aplikasi Zairotask. Ada banyak lagi modul di dalamnya yang memudahkan urusan kehidupan sehari-hari, InshaAllah.

3. Semalam saya baru memindahkan Quran Bookmark daripada aplikasi Zairotask ke Zairopray. Ini merupakan wadah yang lebih sesuai dikumpulkan semua perkara yang bersifat Islamik, InshaAllah.

4. Dalam Quran Bookmark, ada 604 muka surat dan menggunakan 15 baris per halaman. Saya banyak merujuk laman web JAKIM, Quran for Android dalam menyiapkan modul ini di samping beberapa rujukan yang lain.

5. Ada 4 data iaitu nama surah berserta surah ke berapa, ayat mula dan ayat akhir, halaman ke berapa, juzuk ke berapa dan hizab beserta rubuk ke berapa.

6. Ada 2 cara untuk memberhentikan bacaan untuk disambung semula di masa yang lain iaitu secara juzuk dan hizab beserta rubuk atau pun secara muka surat.

7. Dalam Al Quran mengandungi 114 surah, 30 juzuk, 60 hizab dan 240 rubuk. 1 juzuk mengandungi 2 hizab. 1 hizab mengandungi 4 rubuk. Setiap juzuk mengandungi purata 20 muka surat. Setiap hizab mempunyai purata 10 muka surat. Setiap rubuk ada purata 2 hingga 3 muka surat.

8. Jika anda bercadang untuk membaca 2 atau 3 muka surat setiap kali membaca Al Quran, ada baiknya membaca mengikut juzuk, hizab dan rubuk.

9. Dalam Quran Bookmark tidak disediakan pilihan untuk memberhentikan bacaan pada sebarang ayat. Ini kerana sudah ada yang lebih utama iaitu memberhentikan bacaan di juzuk dan hizab beserta rubuk.

10. Al Quran sebaiknya dibaca setiap hari. Jangan diturutkan kemalasan diri kerana itu semua adalah angkara syaitan. Mulakannya hari ini. Bagi yang istiqamah membaca Al Quran, tahniah dan teruskan usaha anda.

#zairo