Saturday, May 6, 2017

440. WOTD

Assalamualaikum dan selamat petang dunia.

1. Untuk tahun ini, saya hanya mahu fokus dengan aplikasi Jawi Kufi. Banyak penambahbaikan algoritma dan kamus telah dibuat dan banyak lagi yang belum dibuat. Ianya memerlukan masa untuk disiapkan.

2. Kadang-kadang terfikir juga, sampai bila baru boleh dianggap siap aplikasi Jawi Kufi ini. Kalau mengikut kata-kata sakti telefon pintar OnePlus iaitu 'Never Settle', maka penambahbaikan itu tidak akan pernah selesai.

3. Namun sudah banyak yang harus disyukuri atas apa yang telah disiapkan. Ini tidak bermakna kita harus sekadar berpuas hati dengan apa yang telah dicapai semata-mata. Masih banyak lagi yang boleh ditambahbaik seperti nama orang, nama negara dan sebagainya yang kurang diberi perhatian dalam aplikasi transliterasi Rumi ke Jawi lain yang saya boleh fokuskan.

4. Saban hari menggunakan aplikasi Papan Kekunci Jawi Kufi, saya selalu terjumpa perkataan-perkataan yang salah dan segera di'screenshot' untuk ditambahbaik kemudiannya. Proses ini yang akan menjadikan aplikasi Papan Kekunci Jawi Kufi lebih baik daripada sebelumnya hari demi hari.

5. Kadang-kadang terfikir juga adakah pendekatan yang saya gunakan dalam membangunkan Papan Kekunci Jawi Kufi adalah terbaik selain kaedah lain seperti Kepintaran Buatan dan lain-lain. Buat masa ini, ini jalan yang telah dipilih setelah melalui beberapa proses yang rumit dalam menyiapkan asas kepada aplikasi Jawi Kufi yang bermula dengan modul sebelum dimasukkan ke dalam aplikasi yang berasingan.

6. 'Terima kasih' adalah antara perkataan terawal yang saya gunakan dalam proses awal membuat aplikasi Jawi Kufi. Sehubungan dengan itu, terima kasih kepada semua pihak yang secara langsung atau tidak langsung yang membantu dalam proses penyiapan aplikasi Papan Kekunci Jawi Kufi.

7. Saya kerap menulis di media sosial dalam Jawi dan ini akan mempercepatkan proses menambahbaik dari semasa ke semasa. Selain itu saya juga membaca bahan bacaan tulisan Jawi seperti di Utusan Jawi.

8. Jika membaca bahan bacaan dengan tulisan Rumi, saya sentiasa meninjau kalau-kalau ada perkataan yang masih salah dalam aplikasi Papan Kekunci Jawi. Kalau dulu membaca untuk mendapatkan info, kini membaca untuk mendapatkan info di samping perkataan baru untuk dimasukkan dalam Jawi Kufi.

9. Saya juga membuat word of the day (wotd) dan biasanya perkataan yang baru dibetulkan pada hari tersebut akan menjadi wotd pada hari tersebut.

10. Kepada semua pengguna aplikasi Papan Kekunci Jawi Kufi, terima kasih dan semoga ianya dapat memberikan manfaat dalam kehidupan anda.

#zairo