Monday, June 9, 2014

396. Typeface

1. Untuk tahun ini saya mula serius dengan kufi. Walau pun saya sudah menyertai kumpulan FoKS di MukaBuku sekitar 2012 namun baru tahun ini saya bertanya soalan untuk kufi nama Zairo dan kemudiannya Azril. Ternyata banyak yang saya belajar daripada sesi pembelajaran tersebut. Percubaan nama Zairo hanya selesai selepas lebih daripada 20 kali percubaan. Itu pun setelah diberikan panduan oleh beberapa orang sifu kufi. Kalau tidak, mungkin tahun hadapan pun belum tentu dapat disiapkan.

2. Hasil daripada susah payah itu saya berjaya membetulkan kufi Azril dalam 2 percubaan. Mungkin saya sudah mula memahami serba sedikit teknik-teknik yang betul dalam menghasilkan kufi, Alhamdulillah.

3. Kemudian saya tidak berhenti setakat itu malah terperasan wujudnya satu typeface oleh salah seorang sifu kufi. Saya lambat untuk menjumpainya semula namun memang saya berkira-kira untuk menghasilkan satu typeface rumi dan arab.

4. Membuat typeface kufi rumi lebih mudah berbanding kufi Arab kerana dalam kufi Arab memerlukan setiap huruf mempunyai 4 jenis iaitu permulaan, pertengahan, akhir dan terpisah. Kalau kufi rumi cukup dengan aksara kecil dan besar serta nombor dan karakter khas.

5. Kemudian rakan saya memerlukan bantuan saya untuk menyiapkan satu kufi rumi lalu saya pun memperbaiki kufi huruf bersaiz 3x4 kepada 3x5 untuk memudahkan bacaan dan lebih meyakinkan.

6. Saya mengunakan Inkscape untuk membuat setiap huruf daripada A-Z, 0-9 dan karakter khas. Kemudian setiap huruf disimpan dalam satu fail .svg. Selepas itu ianya dieksport ke dalam aplikasi FontForge yang disimpan dalam format .sfd (kaedahnya adalah import .svg fail daripada aplikasi FontForge) dan kemudian dijanakan menjadi .ttf. Nampak macam mudah tapi sebenarnya ada beberapa perkara yang perlu diketahui juga seperti jarak antara huruf yang boleh dibuat automatik dan enkod yang perlu digunakan iaitu Windows Latins ("ANSI") untuk kufi rumi dan ISO 10646-1 (Unicode BMP) untuk kufi Arab.

7. Untuk memasang font .ttf ke dalam Ubuntu adalah dengan cara klik dua kali pada fail .ttf dan kemudian klik pada Install. Tara. Sudah sedia untuk digunakan dalam semua aplikasi yang ada pilihan font seperti Word, pengubah teks, Inkscape dan lain-lain. Untuk sistem pengoperasian lain, teknik memasang font adalah hampir sama.

8. Rupanya beribu-ribu font telah sedia dimuat turun dalam Internet seperti di dafont.com dan openfontlibrary.org. Saya juga bercadang untuk meletakkan font saya di salah satu laman tersebut secara percuma, InsyaAllah.

9. Membuat typeface yang menarik memerlukan masa dan teknik yang betul. Setelah membuat font rumi dan Arab barulah saya faham susah payah dalam menyiapkan satu typeface yang indah dan berguna.

10. Font dan typeface sering diguna bersilih ganti. Font dan typeface boleh diibaratkan seperti lagu di dalam album di mana font adalah lagunya dan typeface adalah albumnya.

#zairo