Monday, August 4, 2014

398. Eid Mubarak 1435H

1. Setiap kali sambutan Hari Raya saya tidak ketinggalan dengan pantun rekaan sendiri. Ianya menyelitkan apa yang saya lakukan kini di samping mengalu-alukan kedatangan Hari Raya.

2. Saya telah membetulkan dan mengemaskini kufi yang terdapat pada about page untuk keempat-empat aplikasi saya iaitu Zairopray, Zairoliday, Zairoute dan Zairotask. Ini penting demi kepentingan ilmu.

3. Saya juga membetulkan ralat minor pada Zairopray dan Zairoliday. Susah sebenarnya untuk menambahbaik 4 aplikasi kerana ada juga perkara lain yang penting untuk saya lakukan selain daripada pembangunan aplikasi Android.

4. Melihat kepada Zairopray setelah lebih 2 tahun membangunkan secara on and off, ianya adalah usaha yang bersungguh-sungguh dan tekun demi memudahkan urusan berkaitan solat, waktu solat dan puasa.

5. Sebenarnya banyak lagi aplikasi ingin dibangunkan akan tetapi setakat membangunkan aplikasi tanpa ada penambahbaikan dan membiarkan terus ianya adalah merugikan. Ini menjadikan saya lebih memilih modul yang ingin dimasukkan dalam aplikasi sedia ada kerana saya tidak bercadang untuk membangunkan aplikasi baru disebabkan alasan tersebut.

6. Memang sesetengah aplikasi apabila telah mencapai tahap lengkap modulnya tidak perlu lagi ditambahbaik namun tidak semua aplikasi begitu sifatnya kerana kerumitan yang tinggi pada aplikasi tersebut.

7. Banyak cadangan yang saya terima terutamanya untuk Zairopray namun tidak semua yang saya boleh buat disebabkan oleh faktor tertentu. Namun Zairopray adalah seperti sekarang hasil daripada cadangan dan komen daripada anda semua. Banyak yang saya belajar dengan membangunkan Zairopray.

8. Aplikasi yang digunakan setiap hari adalah aplikasi yang berguna dalam kehidupan seharian. Alhamdulillah, Zairopray digunakan setiap hari untuk mengetahui masuknya waktu solat.

9. Untuk orang yang mudah mengingat jalan mungkin tidak memerlukan aplikasi seperti Google Map. Bagi orang yang sukar mengingat jalan atau selalu pergi ke tempat yang belum pernah pergi, aplikasi seperti Google Map sangat berguna. Zairotask menyediakan tempat untuk menyimpan geocode yang digunakan dalam Google Map. Jika mengunakan kenderaan awam, Zairoute berguna untuk memberitahu arah menunggu tren sama ada di sebelah sini atau sebelah sana juga memberikan maklumat pertukaran tren jika ada semasa pergi daripada lokasi A ke lokasi B.

10. Segalanya bermula semasa saya menaiki pengangkutan awam di mana terhasilnya Zairoute. Sebelum itu berbulan-bulan lamanya saya ingin membangunkan sebuah aplikasi namun ianya sekadar angan-angan kerana kemalasan diri ini mengatasi segalanya, erk. Kejarlah impian anda kerana ianya membahagiakan.

Dulu Android sekarang kufi,
Macam-macam dia punya hobi,
Semoga ceria di Aidil Fitri,
Maaf dipinta menyusun jari.

#zairo