Sunday, September 20, 2015

414. Jawi Kufi Converter

1. Typeface Jawi Kufi sudah pun berjaya disiapkan dan sudah pun versi 1.2, Alhamdulillah.

2. Membangunkan typeface juga seperti membangunkan aplikasi yang memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa sehingga ianya benar-benar lengkap.

3. Saya juga baru memulakan aplikasi menukar Rumi ke Jawi Kufi mengunakan PHP. Ini dibuat kerana Jawi converter yang ada sekarang secara dalam talian dan Android terdapat banyak kesilapan dan tidak dapat menukar banyak perkataan. Jadinya saya cuba membuat sendiri manalah tau boleh membuat lebih baik daripada yang ada sekarang.

4. Aplikasi menukar Jawi daripada UKM tidak dapat dicapai (blank page) dan ia merupakan antara aplikasi menukar Jawi yang terbaik setakat ini.

5. Kebanyakan aplikasi tidak dapat menukar nama mungkin kerana ianya mengunakan kamus di mana nama kebiasaannya tidak terdapat dalam kamus.  

6. Saya mengunakan beberapa peraturan dalam Jawi yang mengunakan suku kata seperti dalam Bahasa Melayu dan terdapat juga beberapa kekangan yang perlu diambil kira supaya ianya mengikut kehendak apa yang terdapat dalam Jawi masa kini.

7. Di Malaysia, cara menulis Jawi disusun oleh Zaaba pada tahun 1949 dan ianya disemak semula pada tahun 1986 oleh pihak berwajib yang menjadikan ia sebagai tatacara penulisan Jawi sekarang.

8. Ada pihak mengatakan cara penulisan Zaaba lebih mudah difahami oleh orang yang baru belajar Jawi.

9. Pada saya, mengunakan teknologi yang ada sekarang, aplikasi menukar Rumi ke Jawi dapat dibangunkan untuk memudahkan kita menulis Jawi dengan betul dan cepat seterusnya belajar memahaminya.

10. Saya masih belum memutuskan untuk melancarkan aplikasi secara web atau pun aplikasi telefon pintar Android akan tetapi yang paling penting adalah menyiapkannya secara lengkap supaya ianya dapat digunakan secara sepatutnya apabila siap nanti.

11. Salah satu kelebihan Jawi Kufi Converter adalah ia terus mengubah kepada huruf jawi dalam bentuk kufi free flow, iaitu bentuk asas huruf-huruf kufi.

#zairo

Sunday, September 6, 2015

413. Kufi Typeface Revisited

1. Banyak perkara tergendala disebabkan faktor-faktor tertentu salah satunya adalah typeface kufi. Sekitar Jun 2014 saya sudah memulakan membuat typeface kufi namun menemui kegagalan pada kerning dan ligature lalu saya menghentikan pembangunan serta-merta.

2. Untuk tahun 2015 saya menyiapkan aplikasi Zairopray sehingga ada formula dan azan lalu saya seterusnya melihat semula kepada semua projek lain yang tergendala salah satunya adalah typeface kufi.

3. Typeface kufi rumi sudah saya muat naik di www.fontspace.com/psudo/zairo dan setakat hari ini sudah 100 orang memuat turun font tersebut. Saya juga meletakkan typeface kufi rumi di github.com/zairochess/kufi-font yang merupakan perkongsian pertama saya di github. Mungkin selepas ini saya akan banyak berkongsi kod di github jika berkelapangan, InshaAllah.

4.  Saya baru menyambung semula typeface kufi dan setelah mengemaskini FontForge kepada versi terkini iaitu Aug 2015 didapati kerning dan ligature sudah berjaya disiapkan. Saya juga membuat beberapa kemaskini pada typeface kufi untuk menjayakan kerning dan ligature. Alhamdulillah, banyak bantuan daripada rakan-rakan juga bantuan daripada Type 3.2 yang saya membeli font editor tersebut terima kasih saya ucapkan.

5. Kehadiran typeface Product sans daripada Google yang digunakan dalam logo Google menyemarakkan lagi semangat saya untuk menyiapkan typeface kufi yang tergendala selama setahun lebih.

6. Pemahaman dalam mengunakan sesuatu aplikasi sangat penting sebelum dapat mengunakannya dengan baik. FontForge sangat lengkap seperti pengubah font komersial akan tetapi untuk mengunakannya agak mengelirukan kepada pemula. Namun pujian dan penghargaan harus diberikan kepada pembangun asal, George Williams dan juga para pembangun seterusnya yang meneruskan legasi beliau dalam menjadikan FontForge agar terus dapat digunakan oleh para pembangun typeface.

7. Versi Aug 2015 sudah menampakkan antaramuka yang lebih cantik berbanding sebelum-sebelumnya. Cuma ianya boleh diperkemaskan lagi untuk menjadikan ianya lebih mudah difahami dan digunakan terutama kepada pengguna baru.

8. Minat saya terhadap font dan typeface bermula selepas saya mempelajari kufi. Terfikir saya alangkah mudah membuat kufi linear jika terdapat typeface yang dibuat untuk menyokongnya. Maka terhasilah typeface kufi rumi dan selepas ini InsyaAllah akan saya siapkan typeface kufi.

#zairo